KUALA LUMPUR: Berkuatkuasa pada tahun 1441 Hijrah ini (September 2019) pihak kerajaan Arab Saudi telah membuat keputusan untuk memansuhkan kos Visa Jemaah Berulang sebanyak Saudi Riyal (SR) 2,000 yang dikenakan sebelum ini kepada jemaah umrah yang mengerjakan umrah untuk kali kedua dan berikutnya.

Bagi menggantikan caj visa berkenaan, Kerajaan Arab Saudi telah menggantikannya dengan caj Visa Umrah sebanyak SR 300 (RM350) untuk semua individu dari seluruh dunia yang ingin mengerjakan umrah samada pertama kali atau berulangkali berikutnya.

Sehubungan itu, semua harga pakej umrah dari Malaysia akan mengalami kenaikan harga pakej sekitar RM350 seorang bergantung kepada kadar semasa tukaran matawang asing RM-SR.

Bagaimanapun, kadar muktamad berhubung kadar harga pakej umrah terkini masih bergantung kepada pendirian Kerajaan Malaysia pada pembentangan Bajet 2020 (dijangka berlangsung pada 11 Oktober depan) .

Ini adalah kerana perubahan mekanisma caj visa umrah oleh Kerajaan Arab Saudi itu dijangka mengubah pola perjalanan rakyat Malaysia untuk mengerjakan Umrah :

  1. jumlah hari yang diluangkan untuk seseorang mengerjakan umrah.
  2. kekerapan seseorang melaksanakan umrah berulang.
  3. kadar peruntukan wang yang akan dibelanjakan untuk umrah.
  4. kecenderungan individu mengerjakan umrah secara berkumpulan besar (berkeluarga) atau kecil (sekadar mahram)

Kesemua faktor diatas bakal menjadi pertimbangan Kementerian Kewangan kerana ia membabitkan pengaliran matawang Ringgit (RM) ke luar negara.

Sepertimana pada Bajet 2019 tahun lalu, Kerajaan Malaysia mengumumkan  levi RM8 hingga RM150 kepada setiap penumpang yang berlepas dari lapangan terbang bergantung kepada destinasi negara Asean atau Bukan Asean.-UH

 

 

Kongsi artikel ini
Berita 11 Oktober bakal penentu harga terbaru umrah