SEPANG: Kumpulan pertama seramai 467 jemaah haji musim 1440 Hijrah/2019 dari negara ini telah berlepas ke Tanah Suci jam 5 pagi tadi.

Mereka menaiki penerbangan Malaysian Airlines Berhad (Malaysia Airlines) MH8100 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah, Arab Saudi.

Turut menaiki penerbangan ialah 16 petugas Tabung Haji (TH) dan wakil media.

Seorang jemaah yang juga pesara kerajaan, Mohd Shahar Sharani, 64, berkata beliau teruja dan datang awal ke kompleks haji untuk mendaftar bersama keluarga.

Beliau yang berasal dari Hutan Melintang, Perak, berkata dirinya mendaftar dengan TH sejak tahun 2009 dan sebelum ini pernah merayu sebanyak tiga kali sebelum mendapat peluang mengerjakan ibadah itu tahun ini.

Bekas kakitangan Klinik Kesihatan di Sungai Sumun itu bersyukur kerana turut ditemani isteri, Salmiah Kassim, 63.

“Saya berharap dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang berada di Tanah Suci, seterusnya dapat menunaikan ibadah dengan lancar,” katanya.

Pada tahun ini, seramai 30,200 jemaah Malaysia akan mengerjakan haji dengan menaiki 81 penerbangan sewa khas iaitu 40 pesawat Malaysia Airlines dan 41 pesawat Flynas dengan penerbangan terakhir pada 4 Ogos nanti.

Secara keseluruhan, seramai 640 petugas haji Malaysia akan bertugas sepanjang musim Haji tahun ini, termasuk 255 pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan serta doktor pakar yang berangkat secara berperingkat ke Tanah Suci sejak 27 Jun lalu.

Penerbangan jemaah haji itu membabitkan lapan lapangan terbang utama di negara ini KLIA; Alor Star, Kedah; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Senai, Johor; Kuala Terengganu, Terengganu; Kota Bharu, Kelantan; Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak.-BH

Kongsi artikel ini
Berita 467 jemaah pertama berangkat