MAKKAH: Kerajaan Arab Saudi sedang dalam proses menaiktaraf semua laluan pejalan kaki di sekitar Mina,Jabal Rahmah dan Mudzalifah bagi membendung suhu panas kepada jemaah haji dan umrah yang melalui kawassan ibadah tersebut.

Ia akan diturap dengan satu bahan turapan berteknologi tinggi oleh syarikat Sumitomo dari Jepun yang mengandungi alat pengesan khas (heat sensor) di bawah lapisan turapan berkenaan untuk menganalisa suhu permukaan jalan pada setiap 10 saat.

Teknologi itu dijangka mampu mengurangkan 15-20 darjah celcius kadar kepanasan permukaan laluan pejalan kaki berkenaan terutamanya pada musim cuaca panas yang mencecah lebih 40 darjah celcius khususnya pada musim-musim haji.

Ketua Pengarah Haji Makkah, Ahmed Manshi berkata fasa pertama projek berkenaan yang sudah dilaksanakan adalah membabitkan kawasan seluas 3,500 meter persegi diantara kawasan melontar (Jamarat) dengan Mina.

“Selain itu, Kerajaan Arab Saudi juga akan memasang teduhan untuk mengurangkan bahang matahari di laluan tersebut  serta membina penghadang konkrit di kiri-kanan laluan agar ia dapat membendung kenderaan daripada menggugat keselamatan jemaah yang lalu disitu”. katanya.

Menurutnya, kajian dan eksperimen sedang dilaksanakan oleh Institut Haji Dan Umrah Arab Saudi bagi memperluaskan projek membendung suhu panas tersebut ke seluruh kawasan di dua kota suci umat Islam iaitu di Mekah dan Madinah.- ArabNews

Kongsi artikel ini
Berita Arab Saudi Bendung Suhu Panas Jemaah Haji Berjalan Kaki