SEPANG 7 Ogos – Sebuah agensi pelancongan yang mengendalikan urusan jemaah haji di Tanah Suci, membuat laporan polis berikutan 26 orang rakyat Malaysia terkandas di Jeddah kerana dikatakan mempunyai visa haji furada (persendirian) palsu.

Pengarah Syarikat Hajar Sazrul Travel & Tours, Mohamad Sazrul Iqram Rozlan berkata laporan itu dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak pagi semalam sejurus menerima berita tersebut.

“Ini kejadian kali pertama berlaku kepada syarikat kami yang terlibat dalam pengurusan jemaah haji sejak 12 tahun lepas,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Seramai 26 jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah sejak Isnin, selamat tiba di KLIA hari ini.

Kumpulan itu tiba menggunakan penerbangan komersial dari KLIA selepas kemasukan mereka tidak dibenarkan dipercayai akibat masalah teknikal pada visa haji furada yang mereka peroleh.

Mohamad Sazrul Iqram mendakwa permohonan visa furada itu diuruskan oleh pegawai Kedutaan Arab Saudi di Malaysia.

“Kita terkejut dikatakan visa itu tidak sah kerana kita telah lama berurusan dengan pihak kedutaan.. kita merasakan kepercayaan kita kepada pihak tersebut telah dicabuli apabila kejadian ini berlaku,” katanya.

Beliau berharap siasatan penuh dapat dilakukan pihak berkuasa berkenaan kes itu yang secara langsung telah menjejaskan nama baik syarikat berkenaan. – BERNAMA

Kongsi artikel ini
Berita Hajar Sazrul Travel & Tours Buat Repot Polis