SHAH ALAM: Rakyat Malaysia yang mahu mengerjakan ibadah umrah akan dikenakan caj tambahan visa berjumlah RM350 (300 Riyal) susulan bayaran itu diumumkan buat kali pertama oleh Kerajaan Arab Saudi, semalam.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan, Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata walaupun caj itu dikenakan buat julung kalinya kepada rakyat negara ini berkuat kuasa semalam, ia dilihat tidak terlalu mahal untuk ditanggung bakal jemaah.

“Mana-mana jemaah yang telah membuat tempahan penginapan dan pengangkutan untuk mengerjakan ibadah umrah sebelum 10 September (semalam) untuk pergi selepas tarikh itu, mereka juga dikenakan caj tambahan visa berkenaan.

“Bagaimanapun, kerajaan Arab Saudi juga mengumumkan untuk memansuhkan caj mengerjakan ibadah umrah secara berulang setiap tahun iaitu RM2,300 (2,000 Riyal) bagi setiap jemaah seperti yang pernah dikenakan sebelum ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden Industri PAPUH, Datuk Helmi Daud dan Setiausaha Kehormatnya, Datuk Jefri Sulaiman.

Razali berkata, susulan keputusan terbaru Kerajaan Arab Saudi itu, mereka juga menyediakan platform khas untuk mengeluarkan visa umrah secara elektronik atau ‘e-visa’ yang mampu siap dalam tempoh kurang 30 minit bagi memudahkan urusan bakal jemaah umrah.

Katanya, statistik yang dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada 2 Jun lalu menunjukkan Malaysia sudah menghantar 274,066 jemaah umrah sejak tahun 2018 hingga kini. – BERNAMA

 

 

Kongsi artikel ini
Berita Kos Umrah 1441H Naik RM350-PAPUH