KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah mengutus surat rasmi kepada kerajaan Arab Saudi memohon kuota tambahan haji musim haji tahun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Zukri Samat, berkata usaha itu bagi mendapatkan kuota tambahan sebanyak 10,000 bagi bakal haji.

“Buat masa ini kita belum menerima sebarang jawapan dari kerajaan Arab Saudi, namun Dr Mahathir sudah pun mengutuskan surat rasmi kepada Arab Saudi berhubung perkara ini.

“Sekiranya kita gagal mendapatkan 10,000 kuota tambahan, 8,000 kuota pun sudah memadai supaya dapat memendekkan tempoh menunggu bakal jemaah yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Khatam Al-Quran dan TH World #QuranHour, di sini, hari ini.

Zukri berkata TH mungkin berdepan kesukaran untuk mendapatkan penerbangan dan tempat tinggal bagi jemaah haji sekiranya kerajaan Arab Saudi memberi jawapan pada saat akhir.

“Bila kita dapat kuota tambahan, banyak perkara kita perlu sediakan seperti penginapan dan penerbangan jemaah.

“Jadi, lebih awal kita terima kuota, lebih baik pengurusan kita. Kos juga akan bertambah jika jawapan diberikan pada saat akhir. Kita berharap keputusan dicapai secepat mungkin kerana penerbangan jemaah haji yang pertama adalah pada 4 Julai depan,” katanya.

Bagaimanapun, Zukri berkata beliau tidak boleh menjangkakan berapa banyak kuota tambahan yang akan diberikan oleh Arab Saudi berikutan banyak faktor yang diguna pakai kerajaan itu untuk menentukan perkara berkenaan.

“Beberapa tahun kebelakangan ini ada rayuan kita yang diluluskan dan sebaliknya. Jadi, untuk saya menyebut apakah peluang itu agak susah sebab tidak tahu apa kekangan yang dihadapi mereka,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah pun mengedarkan surat tawaran kepada 30,200 jemaah yang terpilih mengerjakan ibadah berkenaan pada tahun ini.

Pada 4 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, dilaporkan berkata kerajaan Arab Saudi tidak mempunyai tarikh tepat untuk memberikan jawapannya berhubung kuota tambahan bagi jemaah pada musim haji tahun ini.-BH

Kongsi artikel ini
Berita Malaysia mohon tambahan 10,000 kuota haji