MEKAH 9 Ogos – Seramai 30,200 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah untuk ibadah Masyair mulai awal pagi ini sebagai persediaan menanti hari wukuf esok.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd. Rahman, mereka bergerak menaiki bas dalam beberapa kumpulan dan jemaah pertama bergerak kira-kira pukul 6 pagi.

“Kesemua jemaah Malaysia dijangka berada di Arafah sebelum waktu Maghrib malam ini ,” katanya kepada pemberita selepas menghantar jemaah dari Maktab 77 dan 79 menaiki bas di Abraj Al-Janadriyah di sini, hari ini.

Syed Saleh berkata, ada juga beberapa kumpulan jemaah dari pakej swasta akan bergerak malam ini yang seterusnya menyertai jemaah-jemaah Malaysia lain di sana.

Katanya, jemaah Tabung Haji digerakkan lebih awal kerana hari ini adalah hari Jumaat dan banyak hotel jemaah Malaysia berada di sekitar Masjidilharam.

“Sehubungan itu, banyak jalan-jalan akan ditutup menjelang solat Jumaat iaitu kira-kira 10 pagi yang menyebabkan kita perlu mengejar masa,” katanya.

Beliau berkata, terdapat tiga pusingan trip pagi ini dan setakat ini pergerakan bas berjalan baik tetapi dijangka pergerakan pusingan ketiga akan agak lewat sedikit iaitu selepas solat Jumaat.

Ditanya punca kelewatan jemaah pertama bergerak dari jadual asal, Syed Saleh berkata, bas-bas yang disewa hari ini ada yang digunakan untuk menggerakkan jemaah dari negara lain semalam berakhir agak lewat.

“Maka ia sedikit memberi kesan kepada pergerakannya untuk membawa jemaah kita pada awal pagi ini,” tambahnya.

Ditanya mengenai ‘Safari Wukuf’ iaitu program membawa jemaah haji yang kini sedang dirawat untuk berwukuf di Arafah, Syed Saleh berkata, setakat ini, 98 orang telah dikenalpasti akan menggunakan kemudahan itu.

Menurut jemaah Fisal Murad dan isterinya, Khadijah Abdul Ghani dari penerbangan KT1, mereka sangat berterima kasih kepada Tabung Haji yang banyak membantu kelancaran mereka menunaikan haji.

“Kami mendapat layanan yang sangat baik sejak dari hari pertama tiba hingga ke hari ini dan berharap mendapat haji mabrur,” kata pasangan tersebut. – UTUSAN ONLINE

Kongsi artikel ini
Berita Semua Jemaah Haji Mula Bergerak Ke Arafah