329,000 jemaah haji haram berjaya ditangkap

JEDDAH: Kerajaan Arab Saudi melaporkan berjaya menangkap 329,000 individu yang cuba mengerjakan haji tanpa permit dan visa yang sah pada musim haji 1440H tahun ini.

Daripada penangkapan tersebut, sejumlah 118 syarikat perkhidmatan haji yang beroperasi di negara itu telah diarahkan ditutup kerana dikenalpasti menjadi dalang kepada sindiket permit haji palsu.

Gabenor Mekah, Putera Khalid Al-Faisal berkata pihaknya mengambil langkah tapisan imigresen yang amat ketat pada musim haji setiap tahun kerana melaksanakan tahap jaminan keselamatan yang paling maksimum untuk semua jemaah haji yang menunaikan ibadah itu melalui prosedur sah.

“Prinsip kerajaan Arab Saudi adalah berpegang kepada menggalas amanah menjaga dua kota suci itu dan memastikan semua jemaah haji yang tiba dapat melaksanakan ibadah haji dengan selesa dan sempurna tanpa sebarang gangguan-gangguan dari sebarang penipuan, pemalsuan manakala keselamatan adalah terjamin.

“Jika berlaku kemasukan jemaah haji tanpa permit sah, ia akan menjejaskan kemampuan Kerajaan Arab Saudi untuk menyediakan jaminan keselamatan, perkhidmatan lojistik, perubatan dan pengurusan krisis,” katanya.-UH

 

 

Semua Jemaah Haji Mula Bergerak Ke Arafah

MEKAH 9 Ogos – Seramai 30,200 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah untuk ibadah Masyair mulai awal pagi ini sebagai persediaan menanti hari wukuf esok.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd. Rahman, mereka bergerak menaiki bas dalam beberapa kumpulan dan jemaah pertama bergerak kira-kira pukul 6 pagi.

“Kesemua jemaah Malaysia dijangka berada di Arafah sebelum waktu Maghrib malam ini ,” katanya kepada pemberita selepas menghantar jemaah dari Maktab 77 dan 79 menaiki bas di Abraj Al-Janadriyah di sini, hari ini.

Syed Saleh berkata, ada juga beberapa kumpulan jemaah dari pakej swasta akan bergerak malam ini yang seterusnya menyertai jemaah-jemaah Malaysia lain di sana.

Katanya, jemaah Tabung Haji digerakkan lebih awal kerana hari ini adalah hari Jumaat dan banyak hotel jemaah Malaysia berada di sekitar Masjidilharam.

“Sehubungan itu, banyak jalan-jalan akan ditutup menjelang solat Jumaat iaitu kira-kira 10 pagi yang menyebabkan kita perlu mengejar masa,” katanya.

Beliau berkata, terdapat tiga pusingan trip pagi ini dan setakat ini pergerakan bas berjalan baik tetapi dijangka pergerakan pusingan ketiga akan agak lewat sedikit iaitu selepas solat Jumaat.

Ditanya punca kelewatan jemaah pertama bergerak dari jadual asal, Syed Saleh berkata, bas-bas yang disewa hari ini ada yang digunakan untuk menggerakkan jemaah dari negara lain semalam berakhir agak lewat.

“Maka ia sedikit memberi kesan kepada pergerakannya untuk membawa jemaah kita pada awal pagi ini,” tambahnya.

Ditanya mengenai ‘Safari Wukuf’ iaitu program membawa jemaah haji yang kini sedang dirawat untuk berwukuf di Arafah, Syed Saleh berkata, setakat ini, 98 orang telah dikenalpasti akan menggunakan kemudahan itu.

Menurut jemaah Fisal Murad dan isterinya, Khadijah Abdul Ghani dari penerbangan KT1, mereka sangat berterima kasih kepada Tabung Haji yang banyak membantu kelancaran mereka menunaikan haji.

“Kami mendapat layanan yang sangat baik sejak dari hari pertama tiba hingga ke hari ini dan berharap mendapat haji mabrur,” kata pasangan tersebut. – UTUSAN ONLINE

MOTAC Beri Amaran Batalkan Lesen Syarikat Perlancongan

PUTRAJAYA: Berikutan insiden 26 jemaah haji Malaysia yang gagal memasuki Arab Saudi kerana visa haji yang tidak sah,Kementerian Perlancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC) akan membatalkan lesen syarikat perlancongan terbabit sekiranya ia didapati bersalah.

Menteri MOTAC, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata pihaknya akan memanggil untuk siasatan syarikat terbabit bagi mengetahui samada mereka ada melakukan salahguna lesen pengelola haji yang diberikan kepada mereka.

“Pembatalan lesen berkenaan adalah untuk memberi pengajaran kepada mana-mana pemegang lesen supaya tidak sewenang-wenangnya menyusahkan sesiapa yang ingin menunaikan ibadah haji atau umrah.

“Apabila kita luluskan lesen sesebuah syarikat itu, ia adalah supaya mereka mengendalikan segala urusan secara terus dan bukannya melalui orang tengah.

“Ini menunjukkan kegagalan syarikat itu kerana dia sendiri tidak mahu urus sebaliknya menggunakan khidmat orang tengah pula,” katanya.-UH

Neelofa Tidak Sangkut Kes Tipu Visa Haji

ARTIS popular Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 30 yang sebelum ini dikatakan gagal untuk ke Tanah Suci memunaikan ibadah haji berikutan isu visa haji palsu, disahkan telah selamat berangkat dengan penerbangan ke Jeddah jam 7.30 malam tadi.

Dengan penerbangan itu, ia telah membersihan spekulasi kononnya Neelofa turut terlibat sebagai mangsa dengan kes 26 jemah haji Malaysia yang gagal melepasi tapisan Imigresen Arab Saudi di Lapangan Terbang Jeddah Arab Saudi berikutan Visa Furada untuk menunaikan haji, dikenalpasti palsu.

Melalui kemaskini dilaman Twitter beliau, Neelofa menyatakan status bahawa dia akan berangkat ke Tanah Suci menunaikan ibadah haji bersama ibu dan adik beradiknya. Dia juga memaklumkan bahawa laman sosialnya itu akan diuruskan oleh pihak lain sementara waktu sehingga dia selesai dengan urusan ibadah haji sehingga 15 Ogos depan.-UH

Hajar Sazrul Travel & Tours Buat Repot Polis

SEPANG 7 Ogos – Sebuah agensi pelancongan yang mengendalikan urusan jemaah haji di Tanah Suci, membuat laporan polis berikutan 26 orang rakyat Malaysia terkandas di Jeddah kerana dikatakan mempunyai visa haji furada (persendirian) palsu.

Pengarah Syarikat Hajar Sazrul Travel & Tours, Mohamad Sazrul Iqram Rozlan berkata laporan itu dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak pagi semalam sejurus menerima berita tersebut.

“Ini kejadian kali pertama berlaku kepada syarikat kami yang terlibat dalam pengurusan jemaah haji sejak 12 tahun lepas,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Seramai 26 jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah sejak Isnin, selamat tiba di KLIA hari ini.

Kumpulan itu tiba menggunakan penerbangan komersial dari KLIA selepas kemasukan mereka tidak dibenarkan dipercayai akibat masalah teknikal pada visa haji furada yang mereka peroleh.

Mohamad Sazrul Iqram mendakwa permohonan visa furada itu diuruskan oleh pegawai Kedutaan Arab Saudi di Malaysia.

“Kita terkejut dikatakan visa itu tidak sah kerana kita telah lama berurusan dengan pihak kedutaan.. kita merasakan kepercayaan kita kepada pihak tersebut telah dicabuli apabila kejadian ini berlaku,” katanya.

Beliau berharap siasatan penuh dapat dilakukan pihak berkuasa berkenaan kes itu yang secara langsung telah menjejaskan nama baik syarikat berkenaan. – BERNAMA

Berita