Jemaah Haji Malaysia Terpaksa Balik Kerana Visa Palsu

SEPANG – ” Bila imbas pasport keluar di skrin muka orang lain,” kata Sabariah Osman, salah seorang daripada 26 jemaah rakyat Malaysia yang terkandas di Jeddah sejak Isnin lalu kerana memiliki visa Furada haji palsu.

Ditemui media ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sabariah, 60-an berkata, beliau berasa terkilan tidak dapat menunaikan rukun Islam kelima kerana memiliki visa palsu.

Kesemua 26 jemaah haji yang terkandas itu telah selamat tiba di KLIA hari ini.

“Saya membayar pakej ini dengan harga RM33,000 namun masih tidak dapat menunaikan haji pada kali ini, tetapi saya anggap semua ini ketentuan dari Allah,” katanya.

Menceritakan situasi di sana, Sabariah yang berasal dari Pulau Pinang berkata, apabila tiba di kaunter imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah, pegawai imigresen itu memberitahu visa beliau memaparkan wajah yang berbeza.

“Pegawai itu turut bertanya tarikh lahir saya memandang ia tidak sama dengan maklumat yang dipaparkan pada visa saya miliki itu,” katanya.

“Bila tanya jemaah lain juga kata ada muka bertukar jadi milik orang Indonesia, Nigeria dan warganegara lain,” katanya.

Sabariah berkata, beliau berasakan agensi pelancongan tersebut tidak melakukan penipuan susulan kejadian yang menimpa beliau dan jemaah yang lain.

“Saya tidak salahkan pihak syarikat tapi rasakan perkara ini berlaku kerana silap di pihak sana (Arab Saudi),” katanya.

Pada masa yang sama, Sabariah turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan di atas layanan pihak kedutaan Malaysia di sana dan Tabung Haji.

Dalam pada itu, pihak media difahamkan selain 26 yang terkandas di Jeddah, 36 orang lagi jemaah di bawah pengurusan syarikat yang sama tidak mendapat tiket penerbangan dan visa haji dan telah terkandas di KLIA.

Salah seorang yang terkandas di KLIA, Siti Esah Hussain, 65, berkata, pihaknya hanya mendapat tahu bahawa beliau tidak mendapat visa dan tiket penerbangan pada Isnin lepas.

“Saya telah berada di KLIA sejak Isnin kerana diberitahu pihak syarikat tentang tawaran haji di saat akhir dibawah kuota Raja Salman untuk seramai 20 orang dengan syarat perlu membayar tambahan caj sebanyak RM7,000,” katanya.

“Sejurus mendengar tawaran itu pada Sabtu lalu, saya terus membayar kepada syarikat tersebut tanpa berfikir panjang kerana hati saya memang ingin sangat melakukan haji pada tahun ini,” katanya.

Difahamkan jemaah haji dibawah syarikat tersebut telah membayar sekitar RM30,000 hingga RM50,000 untuk mendapatkan visa haji Furada.

Siti Esah berkata, pihaknya akan melakukan laporan polis sekiranya pihak syarikat tidak membuat bayaran semula segala kos yang telah keluarkan. – Bernama

Jemaah Haji Terperangkap Dalam Pesawat

JEDDAH: Kira-kira 400 jemaah haji yang menaiki pesawat Malaysia Airlines penerbangan KT48B terperangkap selama sejam dalam pesawat itu akibat pesawat terputus bekalan elektrik.

Kejadian cemas itu menyebabkan penumpang terkunci selama sejam di dalam pesawat kerana pintu tidak boleh dibuka sebaik ia mendarat di Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan.

Seorang penumpang, Norizan Suhaily berkata pesawat berkenaan yang berlepas jam 5.30 petang dari KLIA tidak menghadapi masalah sepanjang penerbangan dan segala sajian makanan sebanyak 4 kali berjalan lancar.

“Kejadian itu menimbulkan panik kepada banyak jemaah haji khususnya warga emas yang trauma pertama kali menaiki kapal terbang malahan ada yang mula ragu-ragu untuk penerbangan pulang nanti.

“Keadaan bertambah buruk apabila penghawa dingin di dalam kabin tidak berfungsi menyebabkan ramai penumpang kepanasan dan hampir pitam di dalam suasana kabin yang gelap tidak berlampu.

“Bagaimanapun, semua penumpang bersyukur kerana gangguan bekalan elektrik itu tidak berlaku ketika pesawat sedang berada diudara,” katanya.

Semua penumpang telah selamat keluar dari pesawat dengan bantuan teknikal Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah dan mereka telah pun selesai melaksanakan Umrah Wajib.

Jemaah Haji Perlu Pos Barang Sebelum Masyair

MADINAH: Jemaah haji yang berhasrat untuk mengirim pulang ke Malaysia melalui Pos Malaysia barangan yang mereka beli di Tanah Suci, dinasihatkan berbuat demikian sebelum tiba Hari Wuquf.

Ia bagi memastikan barang berkenaan tiba awal di Malaysia sebelum Hari Raya Haji. Jika di kirim selepas hari Masyair, kemungkinan besar ia akan tiba ke Malaysia satu atau dua bulan selepas jemaah haji tiba ke tanahair.

Menurut petugas Pos Malaysia di Hotel Al Haram Madinah, kelewatan itu disebabkan banyak kiriman lebih banyak dan berat mula dikirim oleh jemaah haji mahupun petugas haji sebaik sahaja tamat musim haji.

Kebanyakan jemaah haji memang membuat kiriman melalui pos sebelum mereka pulang kerana bimbang barangan mereka melebihi berat yang dihadkan ketika penerbangan pulang kelak.

Bagaimanapun jemaah haji tidak digalakkan mengirim melalui pos barangan berbentuk cenderamata atau makanan kerana dibimbangi ia mudah rosak ketika pengendalian dan penghantaràn.

Secara purata, Pos Malaysia menerima 200 tan-250 tan barangan yang dikirim ke Malaysia oleh jemaah haji pada setiap kali musim haji.

Jemaah Haji Malaysia Dilanggar Teksi

MEKAH: Seorang jemaah haji Malaysia mengalami kecedaraan di kaki selepas di langgar sebuah teksi berhampiran Masjid Tanaem kira-kira 7 kilometer dari Masjidil Haram petang semalam

Mangsa tersebut, Jamil bin Tagoh dari Pasir Panjang Port Dickson, mengalami luka serius di bahagian tumit kaki kirinya dan kini sedang mendapat rawatan di Hospital King Abdul Aziz Makkah.

Menurut anak beliau, Hafizi bin Jamil, ayahnya kini berada dalam keadaan stabil di wad hospital berkenaan dengan ditemani ibu Hafizi, puan Rohaya.

Mereka juga mengharapkan seluruh jemaah haji dapat mendoakan Jamil untuk segera sembuh dan diberikan kesihatan untuk memulakan ibadah wuquf dan menyempurnakan ibadah haji tersebut.-UH

 

Jemaah Haji Dicuri RM4,000 Ketika Sai’e

SEORANG jemaah haji Malaysia kerugian RM4,000 selepas wang tunai berkenaan yang di bawa bersama di dalam poket bajunya telah berjaya dilarikan oleh penyeluk saku ketika mangsa sedang melakukan Sai’e bagi menyempurnakan rukun umrah.

Wanita warga emas itu dikatakan tidak menyedari taktik licik penyeluk saku tersebut yang seakan-akan jemaah umrah yang turut serta berhampirannya melaksanakan Sai’e dari Bukit Safa menuju Marwah.

Berdasarkan maklumat yang dimaklumkan kepada UmrahHaji.Com, mangsa berkenaan baru sahaja tiba ke Mekah dari Madinah dan baru sahaja selesai melaksanakan rukun umrah yang kedua iaitu tawaf dan kemudiaannya Sai’e. Beliau dikatakan membawa wang tunai sebegitu banyak kerana berhasrat untuk membeli barangan cenderamata dan akan terus dikirim balik ke Malaysia melalui kiriman pos.

Sementara itu pihak Tabung Haji menasihati para jemaah tidak membawa wang tunai terlalu banyak bersama mereka sebaliknya minimumkan setakat yang perlu untuk membeli sahaja manakala urusan pengeluaran wang boleh dibuat di Kaunter Tabung Haji di setiap maktab.-UH

 

 

Jemaah Haji Malaysia Lepas Gian Di Atas Bumbung

WALAUPUN terpaksa menanti berpuluh tahun lamanya untuk terpilih menjadi Tetamu Allah mengerjakan haji pada tahun ini, namun ia masih tidak mampu mengikis tabiat buruk yang sudah bersemadi berpuluh tahun dalam diri segelintir jemaah haji Malaysia ketika mencari Haji Mabrur di Tanah Suci ketika ini.

Tabiat merokok yang masih tidak dapat ditinggalkan walaupun sudah nekad untuk mendapat redha Allah dari haji yang mabrur, mendorong jemaah haji kalangan perokok melepaskan gian mereka di bumbung-bumbung hotel penginapan sebagai lokasi paling selamat untuk ‘berasap’.

Sudah mula timbul rungutan dari jemaah haji lain yang tidak selesa dengan tabiat itu kerana ruang bumbung hotel adalah ruang menjemur pakaian yang dibasuh oleh kebanyakan jemaah yang tidak mampu membasuh di perkhidmatan dobi.

Berdasarkan rungutan yang dimaklumkan kepada UmrahHaji.com, masalah itu bukan sahaja menyebabkan bau busuk asap rokok akan melekat pada pakaian yang dijemur, malahan lebih membimbangkan lagi adalah risiko berlaku kebakaran apabila pakaian kering di jemuran terkena pada bara puntung rokok.

Dengan purata suhu 40 darjah celcius dan cuaca panas berangin di atas bumbung hotel tersebut, tidak mustahil perkara sebegini boleh berlaku jika perokok terbabit terus ‘beroperasi’ di bumbung itu.

Selain di bumbung hotel, turut dilaporkan menjadi sasaran perokok adalah kawasan ruang tangga hujung koridor yang mana disitu juga menjadi lokasi menjemur pakaian bagi jemaah yang tidak berdaya mendaki hingga ke bumbung hotel. Antara hotel yang dikatakan menjadi sasaran masalah perokok di bumbung dan tangga ini adalah Hotel Land Premium dan Hotel Abraj Janadriah.

Merokok, sisha dan vape telah difatwakan haram oleh Kerajaan Arab Saudi melalui Majlis Fatwa Lajnah Daimah Arab Saudi  kerana ianya memudaratkan badan dan juga mengakibatkan pembaziran.

Kerajaan Arab Saudi juga telah dianugerahkan Anugerah Kecemerlangan Bebas Tembakau oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana inisiataif negara itu menguatkuasakan larangan merokok di dua kota suci umat Islam iaitu Mekah dan Madinah.-UH

 

Panduan Umrah dan Haji