MEMANG semua jemaah haji (malahan seluruh umat Islam) sudah sedia maklum bahawa bersolat di Masjidil Haram mampu memberi ganjaran pahala 100,000 kali ganda daripada bersolat di tempat-tempat lain di atas muka bumi Allah ini.

Dengan sebab  itulah, maka seluruh umat Islam yang bertakwa pasti mempunyai azam dan cita-cita untuk menunaikan kewajipan haji atau setidak-tidaknya ibadah umrah.

Bagaimanapun, setelah diizinkan Allah menjadi tetamunya di kota suci Mekah, bersolat di Masjidil Haram bukan lagi suatu fokus utama sesetengah jemaah haji memandangkan ia bukanlah suatu kewajipan atau rukun yang mewajibkan sah solat.

Pelbagai faktor mendorong jemaah haji untuk tidak bersolat berjemaah di Masjidil Haram, diantaranya adalah masalah keuzuran jemaah warga emas yang tidak mampu berulang-alik dari hotel penginapan ke Masjidill Haram.

Ada juga jemaah haji yang terlalu sibuk membeli-belah buah tangan dari Mekah untuk dibawa balik ke Malaysia sehingga mereka terlepas untuk bersolat berjemaah lima waktu di Masjidil haram. Penyudahnya mereka bersolat di bilik hotel sahaja.

Bagaimanapun, ada sesetengah pendapat menyatakan bahawa tawaran pahala 100,000 kali ganda tersebut bukan hanya di Masjidil Haram sahaja tetapi adalah di seluruh Mekah walaupun di bilik hotel asalkan ia masih berada dalam Kota Suci Mekah.

Walau apa pun, kita sentiasa meraikan perbezaan pendapat serta kita sama-sama doakan agar semua jemaah haji memperolehi haji yang mabrur.-UH

Kongsi artikel ini
Panduan Umrah dan Haji Jemaah Haji Cenderung Solat Di Hotel Berbanding Masjidil Haram?