WALAUPUN terpaksa menanti berpuluh tahun lamanya untuk terpilih menjadi Tetamu Allah mengerjakan haji pada tahun ini, namun ia masih tidak mampu mengikis tabiat buruk yang sudah bersemadi berpuluh tahun dalam diri segelintir jemaah haji Malaysia ketika mencari Haji Mabrur di Tanah Suci ketika ini.

Tabiat merokok yang masih tidak dapat ditinggalkan walaupun sudah nekad untuk mendapat redha Allah dari haji yang mabrur, mendorong jemaah haji kalangan perokok melepaskan gian mereka di bumbung-bumbung hotel penginapan sebagai lokasi paling selamat untuk ‘berasap’.

Sudah mula timbul rungutan dari jemaah haji lain yang tidak selesa dengan tabiat itu kerana ruang bumbung hotel adalah ruang menjemur pakaian yang dibasuh oleh kebanyakan jemaah yang tidak mampu membasuh di perkhidmatan dobi.

Berdasarkan rungutan yang dimaklumkan kepada UmrahHaji.com, masalah itu bukan sahaja menyebabkan bau busuk asap rokok akan melekat pada pakaian yang dijemur, malahan lebih membimbangkan lagi adalah risiko berlaku kebakaran apabila pakaian kering di jemuran terkena pada bara puntung rokok.

Dengan purata suhu 40 darjah celcius dan cuaca panas berangin di atas bumbung hotel tersebut, tidak mustahil perkara sebegini boleh berlaku jika perokok terbabit terus ‘beroperasi’ di bumbung itu.

Selain di bumbung hotel, turut dilaporkan menjadi sasaran perokok adalah kawasan ruang tangga hujung koridor yang mana disitu juga menjadi lokasi menjemur pakaian bagi jemaah yang tidak berdaya mendaki hingga ke bumbung hotel. Antara hotel yang dikatakan menjadi sasaran masalah perokok di bumbung dan tangga ini adalah Hotel Land Premium dan Hotel Abraj Janadriah.

Merokok, sisha dan vape telah difatwakan haram oleh Kerajaan Arab Saudi melalui Majlis Fatwa Lajnah Daimah Arab Saudi  kerana ianya memudaratkan badan dan juga mengakibatkan pembaziran.

Kerajaan Arab Saudi juga telah dianugerahkan Anugerah Kecemerlangan Bebas Tembakau oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana inisiataif negara itu menguatkuasakan larangan merokok di dua kota suci umat Islam iaitu Mekah dan Madinah.-UH

 

Kongsi artikel ini
Panduan Umrah dan Haji Jemaah Haji Malaysia Lepas Gian Di Atas Bumbung