JEDDAH: Kira-kira 400 jemaah haji yang menaiki pesawat Malaysia Airlines penerbangan KT48B terperangkap selama sejam dalam pesawat itu akibat pesawat terputus bekalan elektrik.

Kejadian cemas itu menyebabkan penumpang terkunci selama sejam di dalam pesawat kerana pintu tidak boleh dibuka sebaik ia mendarat di Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan.

Seorang penumpang, Norizan Suhaily berkata pesawat berkenaan yang berlepas jam 5.30 petang dari KLIA tidak menghadapi masalah sepanjang penerbangan dan segala sajian makanan sebanyak 4 kali berjalan lancar.

“Kejadian itu menimbulkan panik kepada banyak jemaah haji khususnya warga emas yang trauma pertama kali menaiki kapal terbang malahan ada yang mula ragu-ragu untuk penerbangan pulang nanti.

“Keadaan bertambah buruk apabila penghawa dingin di dalam kabin tidak berfungsi menyebabkan ramai penumpang kepanasan dan hampir pitam di dalam suasana kabin yang gelap tidak berlampu.

“Bagaimanapun, semua penumpang bersyukur kerana gangguan bekalan elektrik itu tidak berlaku ketika pesawat sedang berada diudara,” katanya.

Semua penumpang telah selamat keluar dari pesawat dengan bantuan teknikal Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah dan mereka telah pun selesai melaksanakan Umrah Wajib.

Kongsi artikel ini
Panduan Umrah dan Haji Jemaah Haji Terperangkap Dalam Pesawat