SEBAIK sahaja jemaah haji tiba di Tanah Suci, ujian pertama Allah SWT kepada para duyufurrahman itu adalah dugaan kesabaran untuk berhadapan rakan sebilik.

Dengan bilangan antara 4 hingga 6 orang sebilik, para jemaah haji perlu redha menerima rakan musafir mereka itu untuk menjadi seperti ahli keluarga sendiri sepanjang 45 hingga 50 hari tinggal dalam satu bilik hotel di Tanah Suci.

Kesabaran adalah tunggak utama dalam mengadapi ujian itu

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka
dengan tidak terkira.” (Surah Az-Zumar: ayat 10)

Diharap kepada ahli-ahli bilik, tolonglah bertimbang rasa dengan perkara-perkara berikut:

1. Merokok
Kalau semua rakan sebilik itu adalah perokok, silakanlah merokok berjemaah di dalam bilik. Tetapi jika ada walau seorang pun rakan sebilik yang tidak merokok, tolonglah merokok di luar bilik.

2. Aircond
Jika ada ahli bilik yang berkulit tebal (gemuk), tolonglah jangan melaras penghawa dingin hingga ke tahap kesejukan paling maksimum. Simpatilah dengan rakan bilik yang kurang lemak dan tidak tahan kesejukan.Janganlah sampai mereka menghidap selsema dan demam semata-mata ingin memenuhi selera anda membakar lemak.

3. Bilik air
Jika menggunakan bilik air untuk mandi atau berhadas, tolong beringat bahawa ada orang lain yang sedang menanti giliran di luar. Jangan terlalu lama menggunakannya hingga ada rakan lain yang terpaksa mencari tandas di bilik orang lain.

Penting juga untuk diingatkan bahawa,’kita sekarang berada di Tanah Suci’, maka jadilah ‘orang yang suci’ dan bukannya orang yang pengotor. Kencing dan berak di tandas hendaklah dipastikan ia tidak meninggalkan kesan tinggalan najis di mangkuk tandas itu.

Jangan menyangka bahawa kita adalah warga emas yang uzur, kita boleh sesuka hati menjadi ‘pengotor’ di dalam tandas sepertima mana di rumah kita sendiri (kerana ada orang gaji atau anak-anak yang membantu)

4.Sidai pakaian yang dicuci
Ada yang membasuh pakaian termasuk ‘pakaian dalam’ lalu disidai sesuka hati di dalam bilik air sehingga ia menimbulkan bau masam yang meloyakan. Lebih teruk lagi, airnya menitis di atas kepala rakan lain yang ingin menggunakan bilik air.

5.Sembang ‘besar’
Setiap rakan sebilik itu mempunyai latar belakang yang berbeza. Ada yang dari golongan berada dan ada yang hanya golongan kebanyakan.

Jika anda adalah golongan ‘berada’ atau golongan yang Allah berikan lebih rezeki dunia, janganlah sembang besar terhadap rakan sebilik yang lain. Tak perlulah mengangkat diri anda di hadapan mereka dengan menceritakan anak-anak anda semuanya cemerlang dan banyak duit.

6.Phone call/video call
Bila terlalu teruja (excited) berada di Tanah Suci, memang setiap masa ingin bercakap di telefon samada Panggilan Suara ataupun Panggilan Video. Samada kita yang membuat panggilan mahupun anak-anak di Malaysia yang membuat panggilan kepada kita, pasti nak bergayut.

Tolong beringat bahawa suara bersembang yang kuat itu akan mengganggu ketenteraman rakan sebilik. Bila dalam sesi Video Call, janganlah sampai tersiar visual rakan sebilik yang sedang mendedah aurat.

Ingatlah, sudah beratus tahun lamanya jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci sebelum handphone dicipta. Namun,tiadapun yang bermasalah untuk memenuhi Rukun Haji akibat tidak dapat video call kepada anak-anak.

7.Silaturahim
Anggaplah sesi 45 hari tinggal sebilik itu sebagai satu peluang untuk menambah 5 orang lagi saudara kita yang baharu, bukannya sekadar sebagai rakan sementara waktu. Justeru, suasana menjalani ibadah haji akan lebih tenang dan tiada tekanan mental ‘stress’ .

Tolonglah jangan samakan pengalaman kita menunaikan haji itu adalah serupa dengan situasi kita berpuluh kali mengerjakan umrah sebelum ini. Mengerjakan umrah mungkin kita akan dapat rakan sebilik yang semuanya adaalah ahli keluarga kita.

Jazakallah

Kongsi artikel ini
Panduan Umrah dan Haji Jemaah Haji! Tolonglah Bertimbang Rasa