PAKEJ umrah yang ditawarkan oleh syarikat pengendali umrah adalah berbeza-beza harganya bergantung kepada tarikh keberangkatan ke Tanah Suci. Ini bermakna,tarikh memainkan peranan penting terhadap trend permintaan dan penawaran orang ramai terhadap pakej jemaah umrah atau ziarah ke Tanah Suci.

Biasanya, harga pakej umrah termahal adalah pada sekitar bulan Ramadan. Ini adalah kerana jemaah ingin mengejar pahala umrah tersebut yang dijanjikan pahalanya setaraf dengan pahala mengerjakan ibadah haji.

Berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud iaitu:

“Rasulullah SAW ada bertanya kepada seorang wanita Muslim di Madinah yang tidak dapat mengerjakan haji di Mekah bersama baginda SAW.

“Wahai Ummu Sinar, kenapa kau tidak pergi haji bersama-samaku.”

Jawab wanita itu: “Macam mana aku hendak pergi kerana aku hanya ada dua ekor unta.

“Seekor, suami aku pakai untuk pergi haji bersama kau dan seekor lagi, anak aku pakai untuk kerja-kerja di kebun.”

Kalau begitu, kata baginda Rasulullah SAW : “Kau boleh dapat pahala haji dengan mengerjakan umrah di bulan Ramadan kerana nilainya sama dengan mengerjakan haji bersamaku.”

Secara amnya, tawaran kadar pakej umrah yang dipasarkan di Malaysia adalah terbahagi kepada tiga kategori utama iaitu Umrah Musim Sejuk, Umrah Musim Panas dan Umrah Cuti Sekolah.

Tiga kategori pakej umrah ini dibentuk berdasarkan trend permintaan jemaah di Malaysia yang cenderung melaksanakan ibadah umrah pada julat masa yang tertentu mengikut keinginan mereka beribadah atau turut berziarah.

Bagaimanapun, ada sesetengah alim ulamak yang arif dalam ibadah umrah, mereka mencadangkan masa yang terbaik untuk menunaikan ibadah umrah adalah pada bulam Muharam iaitu sebaik sahaja selesai musim haji.

Ini adalah kerana ia dapat memberi keselesaan yang maksimum kepada jemaah umrah di tanah suci selepas semua jemaah haji pulang meninggalkan kota suci itu. Waktu itu Mekah dan Madinah dikatakan lengang dan amat minimum jemaah umrah yang hadir beribadah.

Justeru ia dapat memberi lebih keselesaan,tumpuan dan kekhusyukkan kepada jemaah umrah untuk melaksanakan ibadah mereka. Sebagai contoh, jika pada hari biasa, jemaah akan dihadkan waktu untuk beribadat dan berdoa di Raudah, Makam Rasullulah SAW.

Namun, pada bulan Muharam iaitu selepas musim haji, jemaah umrah bebas beribadah tanpa had masa ketika di Raudah kerana kekurangan pengunjung, seterusnya kurang kawalan daripada pihak pengawal keselamatan di situ.-UmrahHaji.Com

Kongsi artikel ini
Panduan Umrah dan Haji Tips Memilih Tarikh Untuk Menunaikan Umrah