255 petugas kesihatan musim haji tahun ini

PUTRAJAYA: Seramai 255 pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan termasuk doktor pakar akan ditugaskan di Tanah Suci sempena musim haji tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata perancangan dan pemilihan sebagai Rombongan Petugas Perubatan Haji itu dibuat sejak Januari lalu sebagai persiapan awal untuk menyusun aktiviti bagi memastikan aspek kesihatan jemaah Malaysia terurus dan baik.

Katanya, pemilihan petugas dibuat berdasarkan kelayakan, kepakaran dan pengalaman dimiliki mereka.

“Saya yakin mereka yang dipilih amat layak berdasarkan latar belakang pengalaman dan kepakaran sama ada dalam bidang perubatan atau kesihatan awam,” katanya pada Majlis Perjumpaan Menteri Kesihatan Bersama Rombongan Perubatan Haji 2019 / 1440H di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Kanan Haji, Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (Pengurusan), Datuk Mohd Shafiq Abdullah.

Dr Dzulkefly berkata, semua petugas terpilih sudah menghadiri kursus petugas perubatan haji, dikendalikan TH bagi memastikan mereka benar-benar terlatih dan mempunyai koordinasi yang baik sepanjang menguruskan jemaah Malaysia di Mekah serta Madinah.

“Penyertaan rombongan petugas perubatan ini menggambarkan faktor kesihatan perkara utama diberi perhatian oleh kerajaan bagi memastikan jemaah sentiasa pada tahap kesihatan yang baik bagi memudahkan urusan mereka menunaikan ibadat,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan kesihatan jemaah, Kementerian Kesihatan menyediakan perkhidmatan suntikan vaksin meningococcal yang diwajibkan kepada semua bakal haji, bertujuan mengekang penularan penyakit meningococcal meningitis.

“Selain itu, bakal jemaah terutama berumur 60 tahun ke atas dan mereka yang berisiko dijangkiti respiratorin sangat digalakkan untuk mendapat suntikan vaksin pneumokokal dan influenza,” katanya.

Beliau juga meminta TH memberi pertimbangan supaya petugas KKM di Tanah Suci diberi kelayakan mendapat subsidi kos haji tanpa perlu membayar kos penuh iaitu RM22,900 kerana mereka sebelum ini pergi ke Tanah Suci atas tugasan memberi khidmat kepada jemaah.

Sementara itu, Syed Saleh yang juga Ketua Rombongan Haji Malaysia, berkata secara keseluruhannya seramai 640 petugas haji Malaysia bertugas sepanjang musim haji tahun ini.

“Kuota rasmi jemaah haji Malaysia tahun ini ialah 30,200 orang dengan penerbangan pertama pada 4 Julai, manakala kebanyakan petugas berangkat lebih awal secara berperingkat mulai 27 Jun,” katanya.-BH

Malaysia mohon tambahan 10,000 kuota haji

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah mengutus surat rasmi kepada kerajaan Arab Saudi memohon kuota tambahan haji musim haji tahun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Zukri Samat, berkata usaha itu bagi mendapatkan kuota tambahan sebanyak 10,000 bagi bakal haji.

“Buat masa ini kita belum menerima sebarang jawapan dari kerajaan Arab Saudi, namun Dr Mahathir sudah pun mengutuskan surat rasmi kepada Arab Saudi berhubung perkara ini.

“Sekiranya kita gagal mendapatkan 10,000 kuota tambahan, 8,000 kuota pun sudah memadai supaya dapat memendekkan tempoh menunggu bakal jemaah yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Khatam Al-Quran dan TH World #QuranHour, di sini, hari ini.

Zukri berkata TH mungkin berdepan kesukaran untuk mendapatkan penerbangan dan tempat tinggal bagi jemaah haji sekiranya kerajaan Arab Saudi memberi jawapan pada saat akhir.

“Bila kita dapat kuota tambahan, banyak perkara kita perlu sediakan seperti penginapan dan penerbangan jemaah.

“Jadi, lebih awal kita terima kuota, lebih baik pengurusan kita. Kos juga akan bertambah jika jawapan diberikan pada saat akhir. Kita berharap keputusan dicapai secepat mungkin kerana penerbangan jemaah haji yang pertama adalah pada 4 Julai depan,” katanya.

Bagaimanapun, Zukri berkata beliau tidak boleh menjangkakan berapa banyak kuota tambahan yang akan diberikan oleh Arab Saudi berikutan banyak faktor yang diguna pakai kerajaan itu untuk menentukan perkara berkenaan.

“Beberapa tahun kebelakangan ini ada rayuan kita yang diluluskan dan sebaliknya. Jadi, untuk saya menyebut apakah peluang itu agak susah sebab tidak tahu apa kekangan yang dihadapi mereka,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah pun mengedarkan surat tawaran kepada 30,200 jemaah yang terpilih mengerjakan ibadah berkenaan pada tahun ini.

Pada 4 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, dilaporkan berkata kerajaan Arab Saudi tidak mempunyai tarikh tepat untuk memberikan jawapannya berhubung kuota tambahan bagi jemaah pada musim haji tahun ini.-BH

Kos Tunai Haji 2019 Kekal RM9,980

20 Jan 2019, KUALA LUMPUR: Kos menunaikan ibadah haji bagi rakyat Malaysia melalui Tabung Haji untuk tahun 1440H/2019 adalah kekal seperti tahun sebelum ini iaitu RM9,980 seorang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di laman web rasmi Tabung Haji (TH), walaupun berlku kenaikan kos berikutan kadar pertukaran matawang asing pada tahun ini, namun kos tambahan itu tetap disera melalui subsidi TH.

Kos sebenar bagi Seorang jemaah pada kadar harga semasa tahun 2019 adalah RM22,900.00, namun kerajaan melalui TH menaggung kos lebihan berkenaan manakala jemaah hanya menanggung RM9,980 sahaja

Bagi Musim Haji 1440H/2019 subsidi atau tanggungan TH bagi seorang jemaah haji adalah RM12,920.00 dan anggaran kos keseluruhan subsidi adalah sebanyak kira-kira RM400 juta.

Subsidi daripada TH itu merangkumi segala perkhidmatan dan kemudahan untuk jemaah haji sepanjang 45 hari di Tanah Suci Kos termasuk penerbangan carter pergi dan balik, penginapan, pengangkutan, makan dan minum, perkhidmatan mutawif, serta barangan kelengkapan asas jemaah haji.

TH memberi keutamaan kepada bakal jemaah haji yang berusia 75 tahun dan ke atas untuk mendahului giliran serta yang belum pernah menunaikan haji. -Urahhaji.Com

4 Inisiatif Baharu Arab Saudi Untuk Permudah Jemaah Haji Dan Umrah

20 Jan 2019, JEDDAH: Gebenor Mekah, Putera Khaled Al-Faisal menggariskan empat inisiatif baru yang bakal dilaksanakan oleh pentadbiran kota suci itu bagi mempermudahkan setiap tetamu Allah yang mengerjakan ibadah haji dan umrah.

Pelan jangkapanjang yang dinamakan “How to Develop Cities to Serve the Hajj and Umrah” (Bagaimana Membangunkan Bandaraya-bandaraya Untuk Memberi Khidmat Kepada Jemaah Haji dan Umrah) itu dibentangkan pada Forum Kebudayaan Mekah,semalam.

Inisiatif tersebut adalah:

1.mewujudkan pusat latihan khusus kepada penggerak haji dan umrah
2.menggubal satu kod etika untuk kakitangan kerajaan yang terbabit dengan pengurusan umrah dan haji
3.memperkasakan Program Sadiq Al-Moatamir iaitu program sukarelawan berkonsep rakan jemaah haji/umrah (lebih 1 juta sukarelawan ketika ini)
4.menggunapakai aplikasi telefon pintar Yusr App untuk jemaah haji dan umrah

Putera Khaled berkata, bagi mencapai kejayaan inisiatif berkenaan, satu perjanjian persefahaman telah ditandatangani diantara semua pihak yang terbabit dalam pembangunan haji dan umrah iaitu pihak berkuasa tempatan, universiti dan Kementerian Perhubungan Islam, Haji Dan Umrah Arab Saudi.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kementerian Perhubungan Islam, Haji Dan Umrah Arab Saudi, Dr. Abdul Fattah bin Suleiman Mashat, berkata kecemerlangan dalam memberi perkhidmatan kepada jemaah haji dan umrah adalah keutamaan paling atas di dalam polisi pentadbiran kerajaan negara itu.

“Sejak dari dulu kala lagi, memang Mekah sudah menerima tetamu Allah dari seluruh dunia untuk menyempurnakan haji dan umrah, maka ia wajar untuk dipertingkatkan kualiti perkhidmatannya dari semasa ke semasa.

“Kerajaan mensasarkan peningkatan keatas kesedaran umat islam global menunaikan ibadah haji dan pada masa sama menggalakkan pelabur untuk turut serta membantu Kerajaan Arab Saudi memberi khidmat kepada jemaah,” katanya. -Umrahjhaji.Com

Tag: haji